Friday, February 29, 2008

Saat - saat Terakhirnya ...

Ketika aku menghantar kek birthday aku ke rumah Auntie Ina, tiba-tiba sahaja aku teringatkan arwah nenek aku ketika hayatnya masih ada. Masih aku terbayang lambaian di muka pintu pada puasa yang lalu. Wajahnya murung dan sedih. Kalau senyum pun mungkin kerana terpaksa.

“Bila nak mai rumah mak?” Inilah pertanyaan yang sering bermain di bibirnya pada saat-saatnya yang terakhir.
Aku tak tahu raya tahun sudah (2007) merupakan Aidilfitri terakhir buatnya. Kalau aku tahu, sudah pasti aku akan bertandang ke rumahnya setiap hari. Aku sering memberi jawapan yang aku terlalu sibuk. Ya memang betul aku terlalu sibuk dengan penulisan aku yang kena submit kepada penerbitan sebelum menjelang hari raya membuatkan aku terkilan kerana mengabaikannya.

Sebuah lagi kenangan yang datang menjengah ketika auntie aku memberikan satu ciuman kasih di pipi ialah nenek aku juga selalu buat begitu setiap kali aku bertandang ke rumah.

“Mai nak sayang sikit.” Inilah yang sering diminta sebelum kami pulang. Dan aku tidak pernah menghampakannya. Dan pada setiap kali hari lahir aku menjelang, ini yang selalu diminta dan didoakan untuk aku.

“Mak selalu doa agar jodoh hang sampai dan ditemukan dengan lelaki yang baik yang boleh menjaga hang. Tiap-tiap hari mak nanti doa pada tuhan. Kalau boleh, mak nak tengok hang naik pelamin.” Ketika ini aku tak tahan sebak setiap kali terkenangkan doanya. Lebih-lebih tahun ini … aku terpaksa menerima hakikat bahawa dia sudah PERGI mengadap Illahi.

Sumpah demi Allah aku tak tahu bahawa dia akan pergi secepat itu pada tahun lalu. Kalaulah aku tahu, pasti setiap permintaannya akan ku tunaikan. Kini aku mula merinduinya. Terlalu merinduinya dan rasa terkilan kerana tidak berada di sisinya ketika dia minta berbuat begitu. Aku tak tahu bagaimana hendak menggambarkan dengan kata-kata hati dan perasaanku ketika ini. Aku cuba tahan sebak di dada tapi aku tak mampu.

“Mak … maafkan Iza kerana tidak dapat menunaikan impian mak yang terakhir. Allah tidak menetap jodoh Iza ketika hayat mak masih ada. Ini semua ketentuanNya. Iza redha menerima segala-galanya yang telah ditetapkan oleh yang maha Esa. Iza doakan agar roh mak akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.”
“Sungguh jahat mereka yang memisahkan kita kan mak. Membuat kita benci di antara satu sama lain. Moga mereka yang menganiayai kita akan menerima Pembalasan yang setimpalnya.”

No comments: