Friday, February 22, 2008

Sejarah Bermulanya Kerjaya Penulisan Seorang Aku ...

Tahun 1990 - 1992

Pertama kali aku menulis menulis ketika aku berusia 13 tahun. Pada usia yang begini, aku cenderung memilih genre puisi untuk mengasah bakat aku. Aku menulis puisi untuk suka-suka. Kadang-kadang, aku menulis untuk mengekspresikan perasaan aku pada teman-teman sekolah dan juga teman-teman sekelas sama ada perasaan gembira, menghargai mereka ataupun marah.

Aku tak betah untuk memarahi mereka secara berdepan kerana itu bukan sikapku. Hanya melalui puisilah luahan perasaan hati aku untuk semua bentuk perasaan yang membuku di dada. Kadang-kadang sikap pendiamku juga memudahkan orang untuk membuli diri ini tapi aku tak reti hendak memberontak. Sekali lagi puisi menjadi tempat untuk aku melepaskan segala pemberontakan di jiwa. Pada usia aku 13 – 15 tahun ... aku menulis kerana minat.


Tahun 1993 - 1994

Pada usia aku yang menjangkau 16 tahun, aku masih lagi cenderung memilih genre puisi untuk meneruskan minat dan bakat penulisan yang telah sebati dalam diri ini. Namun, pada tahun ini ... aku mendapat sokongan daripada seseorang untuk mengasahkan lagi bakat yang ada dalam diri ini. Dialah orang yang bertanggungjawab untuk membentuk aku terus gah berdiri dalam bidang ini. Dialah yang membawa aku menerokai dunia penulisan yang berlainan genre selain puisi. Dialah segala-galanya bagi aku. Dan dialah ... Guru Kesusasteraan Melayu aku – Puan Qanaah.

Jika bukan dia yang menyindir kelas kami, aku tidak mungkin sedar akan bakat penulisan yang besar yang tersemadi di dalam diri ini. Kata-katanya yang aku ingat sampai kini dan terus menyuntik perasaan ingin mengarang ialah :

“Kamu ni ... nama saja pelajar kelas sastera tapi tak ada satu pun karya daripada kelas kamu. Kamu tengok ... pelajar kelas sains juga boleh menulis puisi dan memenangi hadiah, kenapa kamu tidak boleh? Buat malu muka saya saja pelajar saya selama ini tidak pernah menghasilkan sebarang karya. Kamu ni bukan sahaja sombong ... malah bodoh sombong! Cubalah kamu menghasilkan karya dan hantar kepada saya. Saya akan tengok dan nilaikan, kemudian saya akan hantar karya kamu ke mana-mana yang patut.”
Dengan berbekalkan perkataan bodoh sombong, aku bangkit menunjukkan kehebatan diri kerana aku terasa kata-katanya sampai ke tulang hitam dan juga tercabar. Karya puisi pertama aku yang tersiar dalam majalah Mutiara Bahasa (yang diedarkan untuk semua sekolah menengah di Pulau Pinang sahaja) berjudul Roda Kehidupan. Aku dapat lihat bertapa bangganya guru aku itu setelah cabarannya aku sahut. Kemudian, aku beralih arah kepada genre skrip drama. Banyak juga skrip drama yang aku hasilkan untuk pertandingan sekolah walaupun tak menang. Satu lagi kebolehan yang aku dapat dalam diri ini Sejak daripada itu, banyak puisi yang telah aku hasilkan dan hantar ke beberapa penerbitan walaupun tidak terbit.

Pada usia aku 17 tahun, puisi cinta pula yang menjadi pilihan hati ini walaupun aku tidak pernah bercinta. Puisi cinta aku yang agak puitis pada zaman itu, membuatkan rakan-rakan aku tidak percaya bahawa aku tidak pernah dilamun cinta. Kata mereka bagaimana aku menghasilkan puisi cinta sedangkan aku tidak bercinta. Kata mereka lagi, hanya orang yang bercinta saja mampu menghasilkan puisi cinta yang puitis sebegini. Suka hati merekalah hendak percaya atau tidak ... yang nyata aku memang tidak pernah dilamun cinta.

Semasa menunggu keputusan SPM diumumkan, aku mula menerokai satu lagi genre penulisan iaitu cerpen. Pertama kali menghantar cerpen ke Majalah Seleksi untuk satu pertandingan (tak menang) ... ia tersiar. Punyalah seronok hati ini tidak terkata. Cerpen aku berjudul Mengerti. Kemudian, aku mula menulis beberapa cerpen lagi. Satu lagi bakat yang aku temui dalam diri ini.


Tahun 1995 - 1996

Pada usia aku melangkau ke 18 tahun, aku mula aktif dengan Rakan Penulisan yang dianjurkan oleh Rakan Muda. Semasa menghadiri sesi latihan ini, aku banyak terdedah dengan cara-cara penulisan yang betul. Assigment yang aku hantar telah melayakkan diri aku dan rakan sekolah Khairul Hazlina untuk mengikuti seminar kebangsaan yang dianjurkan oleh Rakan Muda. Seminar ini berlangsung selama seminggu di Rumah Gapena, KL dan juga Muara Sungai Duyong, Melaka. (Seronok tau!)

Semasa mengikut seminar inilah aku lebih banyak terdedah dengan teknik penulisan dan mendapat ramai kenalan daripada seluruh pelosok negeri Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Di sini juga telah mempertemukan aku dengan Dr. Othman Puteh, Professor Madya Rahman Shaari dan beberapa orang penulis yang telah mencipta nama lagi. Banyak juga ilmu yang aku dapat daripada mereka. Dan telah membakar semangat aku untuk terus berkarya.

Pada usia 18-19 tahun inilah buat pertama kalinya karya aku genre puisi dan cerpen tersiar dalam majalah Dewan Siswa. Memang aku rasa gembira sekali. Dan bertambah bangga apabila aku memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) dalan genre puisi selama dua tahun berturut-turut. Akhirnya penat lelah aku dalam dunia penulisan berbaloi. Alhamdulillah. Inilah detik kemenangan yang tidak dapat aku lupa buat selama-lamanya. Bertambah gembira apabila mama aku turut menyokong dalam kerjaya baru aku ceburi ini.

Pada tahun 1997, aku dijemput untuk menghadiri Minggu Penulis Remaja(MPR) yang dianjurkan oleh DBP. Bukan semua yang boleh menyertai minggu ini kerana hanya mereka yang terpilih sahaja yang layak menyertai minggu ini. Sementara menunggu keputusan STPM keluar, aku turut menyertai bengkel ini. Lebih banyak ilmu yang aku cedok dalam bengkel ini dan aku menjadi popular sekejap. Hehehe ... sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan. Di sinilah bakat sebenar aku terserlah. Dan di sini juga aku mengenali Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang banyak memberi kata perangsang kepada aku. Aku bertambah ghairah untuk berkarya. Namun, setelah aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam ... kerjaya penulisan aku terhenti seketika kerana kesibukkan kuliah dan assigment tidak mengizinkan aku berkarya. Walaupun, begitu ... aku curi-curi jugak berkarya dalam genre puisi tetapi lebih merupakan luahan hati pada seseorang. (Siapa? Hehehe ... Biarlah Rahsia!)


Tahun 2003 hingga sekarang

Lama juga aku berhenti daripada mengarang dan kemalasan mula menjalar di dalam diri kerana sudah lama aku tidak memerah otak dan memegang pena. Aku ingin menulis novel tetapi tidak yakin dengan diri sendiri membuatkan aku lupakan hasrat itu. Namun, aku bangkit semula setelah dibambu beberapa kali oleh Pakcik aku yang bernama Ismail Hj Hashim. Pedih telinga aku ni mendengar leteren dia setiap kali berkunjung ke rumah. Namun, ada juga kebenarannya kerana sia-sia sahaja aku memiliki bakat besar dalam penulisan jika aku tidak menggunakannya. Berbekalkan dengan leteren itulah, aku mula mencari novel-novel yang terlaris di pasaran untuk melihat corak penulisan mereka sehingga membuat novel mereka digemari ramai.

Lama juga aku membuat penyelidikan sebelum menghasilkan novel sendiri. Pada setiap penerbitan yang aku ingin hantar karya aku ... aku membeli beberapa buah novel mereka untuk melihat stail penulisan penerbit itu. Setelah yakin dengan diri sendiri maka aku mula mengarang dan terhasillah novel pertama aku yang Berjudul Di Kala Cinta Terdetik (DKCT). Oleh kerana novel ini tidak cukup muka surat, maka aku diarah untuk membuatkannya semula. Dan novel kedua aku – Dambaan Pilu telah diterbitkan dahulu menyebabkan ia menjadi novel pertama di terbit daripada DKCT. Sejak daripada itu ... aku tidak senang duduk jika tidak mengarang. Tambahan lagi mengenali beberapa orang penulis yang membuat aku sering bersaing dengan mereka dalam menghasilkan karya. Bagus bersaing ni ... kerana ia membangkitkan semangat untuk berkarya.

Itulah bermulanya sejarah kerjaya aku dalam bidang penulisan ....

No comments: