Monday, December 22, 2008

Terbaru Dari Ku .... ;-D ---> JANGAN KAU TANGISI : Fasa Yang Pertama

‘Kehadapan adindaku Haifa Hezzy,

Sudah lama ingin kekanda meluahkan bicara hati namun tiada kesampaian kerana adinda sering sahaja mengelak daripada bertemu. Apakah menjadi kesalahan jika tali persahabatan ingin kekanda hulurkan buatmu adinda? Tidak sudikah adinda menyambut salam perkenalan ini? Kekanda amat berharap agar adinda sudilah menerima huluran salam perkenalan ini kerana kekanda begitu ikhlas ingin mengenali adinda dengan lebih dekat lagi disebabkan hati kekanda sudah pun terikat pada adinda sejak pertama kali kita bersua wajah. Cuma kekanda tidak tahu bagaimana hendak memulakan perkenalan ini kerana adinda dulunya tidak gemar pada lelaki. Kekanda berharap adinda tidak akan menghampakan hasrat suci di hati kekanda ini.”
Salam Ikhlas : Zahamizal’

Sebaik sahaja ayat terakhir warkah itu dibacanya, lalu satu letusan ketawa yang agak kuat keluar dari rongga tekaknya. Haifa Hezzy ketawa bersungguh-sungguh sehingga berair matanya. Walaupun demikian, Fezra dan Yuzawati tidak turut serta dengan Haifa Hezzy dalam menyemburkan ketawa malah mereka semakin terpinga-pinga.

“Seronok sangat ke dapat surat tu sampai ketawa macam orang sasau?” Yuzawati akhirnya bertanya namun tidak tahu pada siapa soalan itu ditujukan sebab matanya tidak tertuju pada Haifa Hezzy mahupun Fezra.

“Entah! Musyikil aku!” Fezra pula menjawab pertanyaan Yuzawati sedangkan matanya masih terpaku pada Haifa Hezzy.

“Aduii! Ya Allah ya tuhanku! Kelakar gila surat ni. Zahamizal ni tak ada taste baru langsung! Macam ni ke nak pikat aku. Cara pemikatan yang dibuatnya macam orang dulu-dulu tak sesuai dengan zaman teknologi sekarang. Cakap dekat dia, cara dia ni dah lapuk macam zaman bapak aku melamar mak aku. Kalau kau orang nak tahu sebiji macam ni lah gaya bapa aku melamar mak aku sehingga membawanya ke jinjang pelamin. Tapi aku sorrylah tak kan terpikat dengan cara yang macam ni. Cubalah perbaharui sikit cara lamaran tu ... Nah, kau orang bacalah. Entah-entah kau punya idea kot, Yuza?” Haifa Hezzy menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengunjukkan surat Zahamizal kepada Fezra dan Yuzawati. Mereka menyambutnya dengan rasa tidak puas bersarang di sanubari masing-masing. Haifa Hezzy kemudiannya bangun daripada tempat beradu, mencapai tuala hendak menuju ke bilik mandi. Sebelum dia keluar, sempat lagi buah bicara dihulurkan buat teman-temannya itu.

“Lepas kau orang baca, bagi balik surat dan bunga tu pada Mizal. Katakan pada dia, cara dia masih belum kuat untuk menawan hati aku. Teruskan usaha hingga mencapai kejayaan.” Ujar Haifa Hezzy dalam sisa ketawa yang masih melekat. Berpandangan kedua sahabatnya itu seketika sebelum membalas bicara Haifa Hezzy.

“Tak kan kau nak bagi balik surat ni Effa? Kecik hati dia nanti. Simpan ajelah. Kesian dia telah berusaha keras untuk pikat hati kau.” Fezra mula menaruh simpati pada Zahamizal.

“Suka hati kau oranglah. Aku nak pergi mandi ni.” Haifa Hezzy terus menghayun langkah ke destinasi yang terencana di mindanya. Sementara itu, Fezra dan Yuzawati menghabiskan pembacaan surat Zahamizal. Kemudian, mereka juga turut menyemburkan ketawa sebelum perbincangan dibuka semula.

“Patutlah dia gelak macam orang sasau. Gaya penulisan ni rupanya yang digunakan oleh Mizal. Betullah kata Effa, Mizal ni tak ada taste langsung. Buat malu aku saja Si Mizal ni tau. Dahlah ayat jiwang karat! Rosak idea original aku.” Yuzawati menghela keluhan berat.

“Padan dengan muka kau. Lain kali bagi lagi idea yang macam tu. Si Mizal tu, manalah reti karang surat cinta? Surat rasmi tahulah dia. Apa punya mamatlah dia ni. Nak pikat tapi tak reti. Dahlah tu, idea yang orang bagi pun tak tau nak guna.” Fezra juga menggelengkan kepala memikirkan idea kolot Zahamizal. Tiba-tiba Yuzawati bangun daripada tempat duduknya membawa kaki keluar dari bilik Haifa Hezzy. Fezra juga mengikuti langkah Yuzawati dengan teragak-agak.

“Kau nak ke mana Yuza?” Soal Fezra ingin tahu.

“Aku nak fon Mizal. Nak cakap pada dia yang cara dia guna tu langsung tak berkesan untuk mencairkan hati batu Si Effa. Aku nak bagi mulut sikit biar dia terang. Aku yakin, dia tentu tengah tunggu panggilan aku di rumah sewanya untuk mengetahui apa keputusan Effa.” Yuzawati melangkah laju menuju ke destinasi yang terencana di akalnya. Fezra tetap setia membuntuti di belakang Yuzawati kerana dia juga ingin tahu reaksi Zahamizal setelah usahanya tidak dilayan oleh Haifa Hezzy. Gagang diangkat, panggilan dibuat. Seketika kemudian, terdengarlah suara berbalas suara.

“Mizal, apa punya dungulah kau ni! Aku bagi idea sikit punya baik kenapa kau rosakkannya? Hah?” Yuzawati mula hendak membancuh Zahamizal. Pemuda yang sedang melayan panggilan daripada Yuzawati sedikit terpinga-pinga apabila dipanggil dungu.

“Apa pula? Karangan aku tu tak cukup bagus ke? Penat tau aku cari idea untuk karang surat cinta macam tu. Ingat senangkah?” Zahamizal mula melenting di hujung talian.

“Hmmm, kalau cukup bagus aku tak panggil kau dungu!” Yuzawati ketawa buat-buat. Zahamizal semakin pening.

“Kenapa? Dia tak terima ke?”

“Kau nak tahu apa dia cakap?” Jolok Yuzawati lagi untuk membangkitkan rasa ingin tahu Zahamizal.

“Apa dia cakap?” Zahamizal semakin tidak sabar.

“Dia cakap, cara kau memikat dia sama macam cara bapa dia pikat mak dia dulu. Cara kau tu dah lapuk dan tak mampu hendak mencairkan hati dia. Kau ni kan Mizal, tak ada taste langsunglah. Boleh kau tulis adinda kekanda. Hei Mizal, kau ingat kita ni berada di era enam puluhan ke nak guna bahasa macam tu? Rosak idea aku tau! Penat aku bagi!” Yuzawati sudah mula senada dengan Zahamizal. Terkedu Zahamizal disebelah sana.

“Kau baca ke surat aku?” Jika boleh dilihat, wajah Zahamizal sudah pun merona kemerahan menahan malu.

“Bacalah! Kalau tak macam mana aku tahu? Dungu! Lepas baca surat kau, dia gelak terbahak-bahak. Ingatkan ayat power apa kau tulis, rupanya ayat orang dulu-dulu. Tak bolehkah kau perbaharui cara pemikatan mengikut era zaman teknologi terkini? Boleh karang surat cinta macam tu ... Tak kan itu pun aku kena ajar?” Yuzawati semakin menggila membancuh Zahamizal.

“Habis tu macam mana? Tak jalan juga ke aku nak kenal dengan dia? Aku tak retilah nak karang surat-surat cinta ni. Mana pernah aku hantar surat cinta sebelum ni.” Nada Zahamizal nampak begitu kecewa sekali kerana usahanya masih gagal untuk menempatkan diri di hati Haifa Hezzy.

“Haaa, tulah kau ... Lain kali cedok lagi ayat orang dulu-dulu. Kau ingat Si Effa tu lahir di zaman enam puluhan ke? Nantilah aku fikirkan cara apa pula nak guna.” Balas Yuzawati lalu terus meletakkan gagang telefon memandangkan duit syiling yang dibawanya sudah pun habis untuk berbual lama dengan Zahamizal. Fezra melontarkan pertanyaan sebaik sahaja Yuzawati tamat perbualannya dengan Zahamizal.

No comments: