Thursday, August 20, 2009

Kenangan Yang Abadi! Thanx ;-)

Anugerah dan hadiah serikan dunia sastera 1997

Ia menawarkan hadiah yang lumayan sehingga mencecah RM30,000. Bagaimanapun, dalam hal ini, penglibatan syarikat swasta dan korporat sebagai penaja hadiah dan anugerah ini amat ketara sekali.

Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen ESSO-Gapena, Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat, Hadiah Sastera Berunsur Islam dan banyak lagi.

Hadiah-hadiah ini diselenggarakan dengan badan-badan yang memiliki kemahiran dalam bidang sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penulis Nasional (Pena), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan sebagainya.

Manakala, Hadiah Sastera Malaysia (HSM) yang dianggap paling berprestij di negara ini telah ditukarkan menjadi Hadiah Sastera Perdana (HSP) pada tahun lalu. Ia diselenggarakan oleh DBP. Hadiah sastera tersebut bersifat dwi-tahunan dan keputusannya akan diumumkan tahun 1998.

Hadiah-hadiah sastera ini meliputi pelbagai genre sastera termasuklah novel, cerpen, puisi dan drama.

Bagaimanapun, genre drama masih melalui zaman dilema yang berpanjangan kerana kebanyakan penulis tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Hadiah sastera terhadap genre ini juga berkurangan.

Tahun lalu contohnya, hanya Wan Ahmad Ismail yang menghasilkan genre ini dalam bentuk buku.

Bagaimanapun, beliau tidak terpilih sebagai penerima tunggal bagi HSM.

Penulis-penulis genre drama memang mudah dikenali kerana bilangan mereka tidak ramai. Malah, sasterawan besar juga tidak terarah untuk melibatkan diri dalam bidang ini. Yang jelas kelihatan ialah Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, SN Datuk Noordin Hassan dan Zakaria Ariffin. Mereka telah lama menguasai bidang ini.

Lapisannya masih belum kelihatan.

Bagi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (penilaian bagi 1996), kebanyakan pemenang adalah penulis yang hampir sama. Contohnya, Gunawan Mahmood sekali lagi dipilih memenangi hadiah utama kategori Novel Remaja berjudul Cinta Daerah Perjuangan yang membawa hadiah RM5,000. Beliau sebelum ini menang tempat yang sama dengan novelnya Tanah Ini.

Hadiah kedua RM3,000 dimenangi oleh Abu Hassan Morad melalui novel Natasya. Beliau juga menang tempat yang sama bagi tahun sebelumnya lewat novelnya Titian Rindu. Manakala tempat ketiga yang menawarkan hadiah berjumlah RM2,000 dimenangi oleh Jusang Bolong.

Bagi hadiah utama kategori cerpen, hadiah yang diperkenalkan sejak 11 tahun lalu ini dimenangi oleh Faizal Tehrani (Api KL Belum Terpadam), Nisah Harun (Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus) dan Hashim Latiff (Tukang Merdeka).

Pemenang lain yang menerima hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang ialah Rahman Yusoff (Pemandu Teksi ), Faizal Tehrani (Perempuan Anggerik), Zaharah Nawawi (Anak-Anak Suria), Mohd. Affandi Hassan (Bukan Rasuah Lagi), Ana Balqis (Wawancara Bersama Datuk Bey) dan Zakaria Ali (Yusri Jafri Wangua).

Kategori hadiah cerpen remaja pula dimenangi oleh Raihanah Salleh (Ruang), Ria Asmira (Benar Kata Ayah) dan Hashim Abdullah (Antara Dua KL).

Lain-lain pemenang saguhati ialah Zaid Mohd. Saman, Anizan Alias, Ana Balqis, Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Nazim Mohd. Subari, Gunawan Mahmood dan Nor Arenawati Abd. Majid.

Sementara itu, pemenang hadiah utama kategori puisi ialah Rejab F.I (Ketandusan Sebuah Lembah), Nazim Mohd. Subari (Pesanan Anak-Anak Terbuang) dan Ihzan Noorazli (Memancung Insani). Hadiah penghargaan ialah Jumaanoh Abd. Bunga, Haron A.H., Sabariah Bahari, Razali Mohamad, Shapiai Muhammad Ramly dan Wadi Leta.

Bagi Hadiah Sastera Siswi Bank Rakyat, ia menjadi medan mengasah bakat pelapis-pelapis baru dalam perkembangan dunia penulisan tanah air. Mereka dianggap menjadi penerus kecemerlangan sasterawan yang sedia ada.

Kehadiran bakat-bakat baru yang terpilih menerusi anugerah ini muncul dari bangku pendidikan formal.

Keadaan ini dianggap sebagai elemen utama bagi menjamin karya-karya terbaik dan bervariasi. Hadiah ini diperkenalkan sejak 10 tahun lalu.

Mutu penulisan generasi baru ini dianggap oleh panel penilai Prof. Madya Dr. Othman Puteh sebagai memperlihatkan peningkatan. Lima cerpen yang menang bagi tahun 1997 (penilaian bagi tahun 1996) mampu menggunakan empat landas yang ditetapkan oleh pihak juri iaitu tema, pengolahan, gaya bahasa dan penerapan nilai-nilai positif. Penulisnya banyak mengangkat kasih sayang, psikologi, fantasi dan sebagainya.

Lima cerpen yang menang ialah Harapan Di Joyrampur oleh Mohd. Amin Sirajab, Harga Diri oleh Khairul Hazlina Khalid, Hari Baru oleh Lim Chio Kee, Musang Hitam oleh Norlena Albert C.J @ Ahmad Salam dan Sidang Rimba oleh Mohd. Razi Ismail.

Mereka sebagai generasi muda yang lahir dari kancah pendidikan formal menulis apa yang dilihat dan dirasai.

Semuanya lahir dari penghayatan atau mungkin pembacaan. Harapan Di Joyrampur misalnya merupakan persoalan yang menyentuh kemanusiaan yang berlatarbelakangkan kedaifan masyarakat di Mymensingh, satu kawasan di India yang bersempadan dengan Bangladesh.

Sementara itu, dalam kategori puisi 10 puisi terbaik terpilih daripada 120 puisi untuk memenangi anugerah yang diperkenalkan sejak 1987.

Puisi yang berjaya ialah Hitam dan Putih (Noorhalina Hussain), Jendela Hidup (Ebriza Md. Aminuddin), Keheningan (Norhaily Shamsudin), Kusut (Nor Salmi Abdul Rahim) dan Kutukan (Zainatul Shuhaida Abdul Rahman).

Puisi lain yang menang ialah Laku Manusia (Tin Seng Khiang), Masihkah Ada Usia Esok (Iwan Fazlee Ahmad Fadzil), Permainan (Md. Hafiz Mat Esa), Pada Tanah Merdeka Ini (Wan Mohd. Shukri Wan Abd. Rahman) dan Gah (Wira Budiman Azizan).

Selain Kumpulan Utusan, Public Bank dan Bank Rakyat, Syarikat Esso juga terlibat secara langsung dalam usaha memartabatkan sastera tanah air. Esso bekerjasama dengan Gapena mempertahankan Hadiah Cerpen ESSO-Gapena.

Bagi tahun ini Nisah Haron diumumkan sebagai pemenang hadiah utama kerana kejayaan cerpennya Persidangan Agung Wanita Klasik. Cerpen yang berjaya menggondol hadiah RM5,000 ini dianggap menyerlahkan aliran feminisme Melayu-Islam serta dapat memberikan jalur warna dalam dunia penulisan.

Nisah menampilkan perjuangan, sikap dan pembelaan wanita yang terabai-teraniaya dengan melihat ke dalam diri secara mempertemukan tokoh-tokoh wanita silam dari sejarah legenda Melayu-Islam dalam suatu perbincangan tentang hak, status dan sejarah wanita itu sendiri.

Penulis bukan Melayu yang aktif menulis, Uthaya Sankar SB menang tempat kedua melalui cerpen Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah. Manakala Mawar Shafie yang menghasilkan Mandaka Haksiber menang tempat ketiga.

Dua Hadiah Khas Tempatan yang dikategorikan kepada penulis bukan Melayu dimenangi oleh Chin Fook On @ Robert Shamelon yang menghasilkan Berkat Satu Kealpaan. Hadiah Penulis Termuda dimenangi oleh Siti Raihani Mohamed Said yang mengetenghasilkan cerpen Tetamu Pulau.

Hadiah sagu hati dimenangi oleh Mohd. Ismail Sarbini, Khatem Ariffin, Abu Hassan Morad, Azizi Abdullah, Zaharah Nawawi, Maaruf Mahmud dan Tajuddin Saman.

Selain hadiah sastera, beberapa anugerah yang diberikan kepada tokoh-tokoh tertentu sebagai mengenang budi dan jasa mereka turut menyerikan dunia sastera tanah air. Antara negeri yang memberi sumbangan itu di peringkat negeri ialah Sarawak dan Terengganu.

Di Sarawak, pejuang kemerdekaan, ahli politik dan novelis terkenal di zaman pemerintahan Inggeris, Allahyarham Tan Sri Abang Ikhwan Zaini terpilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak yang diadakan Mac lalu di Kuching. Penerima hadiah tertinggi negeri itu menerima wang tunai RM20,000, warkah penghormatan negeri dan lain-lain kemudahan yang diberi oleh kerajaan negeri.

Allahyarham dipilih setelah panel mendapati beliau banyak menghabiskan masa hidupnya dengan memperjuangkan nasib masyarakat tempatan melalui puisi, cerpen dan novel dalam bentuk patriotik.

Sarawak juga memperkenalkan Hadiah Sastera Kebangsaan Sarawak (pemenangnya Saie Deris, Jong Chian Lai dan Allahyarham Syed Hussin Syed Alwi), Hadiah Sastera Sukuan Sarawak (Henry Gerijeh), Hadiah Penggiat Sastera Sarawak (tiada pemenang), Hadiah Karyawan Harapan Sarawak (Dahiri Saini dan Dr. Abdul Hadi Badiozaman Tuah) serta Hadiah Khas Bahasa dan Sastera Sarawak (tiada pemenang).

Di Terengganu pula, Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) memilih penyair J.M. Aziz sebagai penerima Anugerah Sasterawan Pelita. Zailani Taslim dipilih sebagai Penulis Produktif Kategori Novel manakala Ghazali Ngah Azia pula sebagai penerima hadiah harapan.

Awang Abdullah menang bagi kategori puisi dan Hilmi Rindu pula sebagai penerima harapan kategori tersebut. S.M. Noor pula menang bagi kategori drama tv. Wan Ahmad Ismail kategori drama radio, Omara Abdul Rahman pula sebagai hadiah harapan. Wan Dayang Mamat menang hadiah harapan kategori rencana.

Hadiah dan anugerah yang diberikan ini sama ada melalui pertandingan atau sebagai usaha mengenang budi dan jasa merupakan usaha terbaik untuk memeriahkan lagi dunia sastera.

Sekurang-kurangnya penulis dapat merasakan bahawa apa yang mereka lakukan selama ini dihargai oleh masyarakat dan negara.

No comments: