Friday, December 31, 2010

Thursday, December 16, 2010

FP Junior Sambutan Luar Biasa - Sumber dari Fajar Pakeer

Mulai awal tahun 2010, Fajar Pakeer (FP) telah pun mengeluarkan bahan bacaan untuk kategori awal remaja yang dipanggil FP Junior. Bahan yang sesuai untuk golongan sasaran pembaca 9-15 tahun diterbitkan kerana FP melihat novel bukan untuk satu golongan atau peringkat umur sahaja. Malah kehadiran FP Junior juga untuk memeriahkan lagi industri penerbitan buku di samping memberi kepuasan kepada pembaca.

Kini sudah 12 buku diterbitkan dan lima daripadanya dalam proses pencetakan semula (reprint) iaitu Kerana Siti Munirah, Misteri Tasik Buana, Adam Oh Adam, Mad Mid Mod dan Aku Bukan Penakut. Sambutan luar biasa ini bukan sesuatu yang dijangka oleh FP kerana ada di antara buku-buku ini belum pun sampai setengah tahun di pasaran.

Penerimaan manuskrip untuk novel FP Junior juga semakin bertambah. FP sentiasa membuka ruang kepada penulis baru dan lama untuk berkarya dalam pelbagai tema. Bagaimanapun kami perlu menilai dan menapis ia lebih dulu. Hanya manuskrip yang benar-benar sesuai dengan sasaran pembaca sahaja dipilih untuk diterbitkan.

Kepada sesiapa yang berminat menjadi salah seorang penulis novel FP Junior, hantar manuskrip anda untuk nilai sekarang. Tunggu apa lagi, selamat berkarya dan kami menantikan manuskrip anda!
Untuk sebarang pertanyaan, e-mel ke fajarpakeer@yahoo.com























































































































































































Sunday, December 12, 2010

Revolusi Ebriza Aminnudin


Ebriza Aminnudin bukanlah satu nama yang baru dalam dunia penulisan khususnya novel. Malah nama beliau sudah cukup dikenali melalui 19 buah novel yang telah beliau hasilkan. Di antaranya ialah novel- Dambaan Pilu, Apa Kata Hati (Novel kesinambungan Dambaan Pilu), Damien, Tangisan Kerinduan, Dikala Cinta Terdetik, Aku Cinta Kamu, Dialah Dihati, Hati ini Milik Siapa (Novel Terlaris), Kau Yang Tak Mengerti, Hanya Dikau, Dakapan Kasih, Mahakarya Cinta, Jangan Kau Tangisi, Ingin Hati Melukis Kata (kolaborasi bersama novelis Bikash Nur Idris), Vila Amira Syakila (Novel thriller Seram), Benci Tapi Rindu (Mini Novella), Janji Seorang Puteri (Novel Kanak-kanak), Reza dan Negara Kristal ( Novel bersiri Kanak-kanak), Reza dan Gergasi Mons (Novel bersiri Kanak-kanak).

Segala-galanya bermula ketika beliau berumur 13 tahun. Ketika itu beliau telah mula menunjukkan kecenderungan diri dalam bidang penulisan. Beliau lebih gemar memilih genre puisi untuk mengasah bakat. Apabila ada masa terluang beliau akan menulis puisi. Walaupun pada awalnya hanya untuk suka-suka. Kebanyakannya puisi beliau itu adalah untuk mengekspresikan perasaan terhadap teman-teman sekolah dan juga teman-teman sekelas. Sama ada perasaan gembira, menghargai ataupun marah.

Bakat beliau dalam penulisan ini mula dikesan oleh Guru Kesusasteraan Melayu beliau iaitu- Puan Qanaah. Ketika itu usia beliau baru menjangkau 16 tahun dan kecenderungan beliau berkarya masih lagi kepada genre puisi. Pada ketika itulah, Puan Qanaah cuba mengubah kemahiran menulis beliau dari genre puisi kepada penulisan yang lebih pelbagai lagi.

Hasil didikkan dan kata-kata cabaran yang diberikan oleh Puan Qanaah, maka tersiarlah karya puisi pertama beliau dalam majalah Mutiara Bahasa (yang diedarkan untuk semua sekolah menengah di Pulau Pinang sahaja) berjudul ‘Roda Kehidupan’. Karya ini telah menjadi titik permulaan pada perjuangan beliau dalam bidang penulisan. Kemudian, beliau memberanikan diri pula untuk beralih arah kepada genre penulisan skrip drama. Terdapat beberapa skrip drama yang telah dihasilkan oleh beliau untuk pertandingan sekolah. Walaupun tidak memenangi apa-apa hadiah tetapi beliau berasa puas hati kerana berjaya menghasilkan karya tersebut.

Setelah mencuba genre penulisan puisi dan skrip drama. Beliau memberanikan diri untuk menghasilkan cerpen pula. Niat itu terdetik ketika beliau sedang menunggu keputusan SPM. Buat pertama kalinya beliau telah menghantar cerpen berjudul ‘Mengerti’ ke Majalah Seleksi untuk sebuah pertandingan. Walaupun tidak berjaya memenangi apa-apa hadiah, tetapi cerpen itu telah disiarkan. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau terus mengorak langkah lebih panjang untuk terus maju di dalam bidang penulisan.

Pada tahun 1995 – 1996, beliau mula aktif dengan Rakan Penulisan yang dianjurkan oleh Rakan Muda. Perkara ini memperlihatkan bahawa beliau begitu bersungguh-sungguh untuk memperbaiki dan menimba sebanyak mana pengetahuan yang ada dalam bidang penulisan ini. Semasa menghadiri sesi latihan ini, beliau lebih banyak terdedah dengan cara-cara penulisan yang lebih formal. Beliau juga telah terpilih bersama rakan sekolah yang lain mengikuti seminar kebangsaan yang dianjurkan oleh Rakan Muda. Seminar ini berlangsung selama seminggu di Rumah Gapena, KL dan juga Muara Sungai Duyong, Melaka. Di sini jugalah beliau telah dipertemukan dengan Dr. Othman Puteh, Professor Madya Rahman Shaari dan beberapa nama besar dalam arena penulisan. Banyak ilmu yang telah beliau perolehi daripada nama-nama besar ini. Secara tidak langsung ianya telah membakar semangat beliau untuk terus berkarya dengan lebih gigih lagi.

Antara detik yang amat bermakna dalam hidup beliau apabila genre puisi dan cerpen beliau telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa sekaligus memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) dalam genre puisi selama dua tahun berturut-turut. Ini merupakan rekod terbaik yang berjaya beliau capai pada ketika itu. Di antara karya-karya awal beliau yang berbentuk puisi ada dimasukkan dalam koleksi Harapan Di Joyrampur, Putaran Jarum Jam dan Sebuah Hati di Cheng Du.

Pada tahun 1997, beliau telah dijemput untuk menghadiri Minggu Penulis Remaja(MPR) yang dianjurkan oleh DBP. Beliau bernasib baik kerana bukan semua orang mendapat peluang untuk menyertai minggu ini kerana ianya hanya untuk mereka yang terpilih sahaja. Di sinilah bakat sebenar beliau mula terserlah dan dikembangkan. Di sini juga beliau mengenali Sasterawan Negara yang amat disegani iaitu Abdullah Hussein yang banyak memberi kata perangsang kepadanya untuk berkarya dengan lebih baik.

Segala penglibatan beliau dalam dunia penulisan seolah-olah terhenti setelah beliau ditawarkan masuk ke UiTM, Shah Alam. Mungkin kerana tanggungjawab beliau sebagai penuntut itu telah menghadkan masa dan kesempatan beliau untuk terus berkarya. Namun begitu, setelah menamatkan pengajian di UiTM, keinginan beliau untuk berkarya itu masih lagi terhenti dan tidak ada kesinambungannya. Melihat kepada keadaan itulah Pakcik beliau iaitu Encik Ismail Hj Hashim telah mencabar beliau dan meminta agar beliau kembali berkarya seperti dulu. Sebenarnya Encik Ismail Hj Hashim dapat melihat potensi dalam diri beliau dan merasakan bahawa bakat penulisannya itu tidak harus disia-siakan begitu sahaja. Menyahut cabaran itulah beliau telah berjaya menghasilkan novel pertamanya yang Berjudul ‘Di Kala Cinta Terdetik’ (DKCT). Namun kerana tidak cukup muka surat manuskrip novel ini telah dikembalikan oleh penerbit agar ditambah dan diperbaiki semula.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga telah siap mengarang novel kedua bertajuk – ‘Dambaan Pilu’. Novel Dambaan Pilu ini telah berjaya diterbitkan terlebih dahulu berbanding novel Dikala Cinta Terdetik. Oleh sebab itu, maka ianya telah menjadi novel pertama beliau terbit di pasaran. Sejak itu, keinginan beliau untuk menghasilkan karya novel terus meluap-luap dan ianya ditambah dengan perkenalan beliau dengan beberapa rakan penulis lain. Secara tidak langsung ianya telah membangkitkan keinginan beliau untuk bersama-sama mewarnai dunia penulisan novel di Malaysia.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang penulisan novel. Beliau tidak terkecuali menempuh cabaran dan dugaan yang hebat bila mana novel beliau yang bertajuk ‘Kau Yang Tak Mengerti’ telah dibidas teruk oleh pengkritik novel dan pembaca. Saat itu, beliau begitu sedih dan kecewa hingga terfikir untuk berhenti berkarya. Namun sokongan kawan-kawan, ahli keluarga, Cikgu Qanaah serta penggemar novel yang lain telah mengembalikan semangat beliau. Keadaan ini membuatkan beliau terfikir, bahawa beliau tidak boleh mengalah dengan hanya disebabkan oleh komen pedas dan kritikan itu. Beliau harus bangkit demi memperjuangkan minat dan bakat beliau. Ini kerana beliau mula sedar bahawa mereka yang membidas dan mengkritik itu adalah mereka yang sedar akan kewujudan karyanya. Jika karya beliau tidak diangkat untuk dibidas dan di kritik ketika itu, mungkin beliau akan terus hanyut dengan emosi sendiri dan lebih tepat dikatakan syok sendiri. Segala yang berlaku itu mempunyai hikmahnya.

Beliau bersyukur kerana setelah menerima kritikan itu, barulah beliau mengerti di mana silapnya karya itu dan bagaimana beliau harus memperbetulkannya agar kesilapan yang serupa tidak berulang lagi. Saat itu, beliau berpegang kepada prinsip-“Sekali gagal tidak bererti akan gagal selamanya kerana kegagalan itu mengajar kita untuk menuju kearah kecemerlangan dan membawa kita ke puncak jaya. Beliau juga menjadikan kegagalan karyanya yang lalu itu sebagai sejarah dan pengajaran di masa akan datang . Maka dengan itulah beliau bangkit semula dari rebah dan terus menghasilkan novel-novel yang lebih menambat hati pembaca.

Antara salah satu keistimewaan beliau ialah keberanian beliau mencuba pelbagai genre dalam penulisan novel. Setelah terlalu lama dikaitkan dengan genre novel percintaan, lama-kelamaan beliau merasakan perlu ada satu transformasi dan revolusi dalam karya-karya beliau yang seterusnya. Oleh sebab itu, beliau mula terfikir untuk mengubah genre novel beliau yang seterusnya agar lebih segar dan pelbagai. Di samping itu, beliau juga ingin mengasah kebolehan dan kreativiti beliau dalam genre novel yang berlainan dari kebiasaannya.

Beliau beranggapan menukar genre novel ini merupakan satu cabaran yang cukup menguji dan memberi kepuasan dalam berkarya. Ini kerana kebanyakan penulis biasanya dilihat lebih selesa jika mereka hanya dikenali dengan satu genre sahaja. Dan mereka merasakan tidak yakin untuk cuba berubah angin. Namun bagi dirinya sendiri pula adalah sebaliknya. Beliau berpendapat sebagai penulis novel seharusnya kebolehan yang ada dalam diri itu harus diuji dan digilap dengan genre novel yang pelbagai.

Oleh sebab itulah beliau membuat percubaan berani dalam menghasilkan novel genre thriller seram berjudul-VILA AMIRA SYAKILA terbitan Buku prima. Novel ini dilihat telah menambat hati pembaca yang telah membacanya. Malah ianya dikatakan unik terutama sekali pada mereka yang meminati novel genre seram. Ianya terbukti melalui respon pembaca novel tersebut di laman facebook beliau dan juga daripada email yang telah beliau terima. Ada juga di antara rakan penulis yang agak terkejut apabila beliau begitu berani bertukar genre. Ini kerana pada pandangan mereka, kehilangan pembaca dan kegagalan karya itu adalah risiko yang menakutkan pada saat diri telah dikenali.

Secara jujurnya beliau sendiri turut rasa berdebar menunggu reaksi pembaca untuk percubaan pertama beliau ini. Tetapi apabila pembaca yang membeli novel ini memberi komen yang positif setelah membaca novel ini, membuatkan beliau menarik nafas lega. Beliau merasakan tidak salah untuk mencuba pelbagai genre kerana ianya akan menjadikan seseorang penulis itu lebih verstail. Impian beliau juga sebenarnya adalah untuk menjadi seorang penulis yang verstail. Beliau yakin jika pembaca itu sudah lama mengikuti perkembangan karya seseorang penulis yang di minati, mereka akan cuba menerima walau apa pun genre yang penulis itu hasilkan. Bagi penerbit pula, ianya satu pembaharuan yang jarang dihasilkan oleh penulis lain. Perkara yang paling penting adalah karya itu harus menarik dan mampu memikat hati pembaca.

Sejujurnya, beliau mengakui bahawa bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu yang jarang kita hasilkan. Malah beliau sendiri pada permulaannya berhadapan dengan kesukarannya untuk mendapatkan mood dari segi penceritaan kerana tidak mudah untuk menimbulkan unsur suspen, menakutkan, menyeramkan dan memastikan agar cerita itu meninggalkan persoalan pada diri pembaca dan seterusnya menarik mereka untuk berasa ingin mengikuti cerita ini dari mula hingga ke akhirnya. Alhamdulillah berkat kesabaran, ketekunan, dan sokongan semua akhirnya beliau berjaya menyiapkan novel tersebut. Walaupun ianya mengambil masa agak lama. Namun kepuasan itu jelas dirasai oleh beliau setelah melihat novel ini diterbitkan di pasaran. Sekaligus di terima dengan baik oleh pembaca.

Selain mencuba genre thriller seram, beliau juga telah menghasilkan novel untuk kanak-kanak iaitu Janji Seorang Puteri terbitan Buku Prima dan Novel Bersiri kanak-kanak terbitan Fajar Pakeer. Bagi beliau penghasilan novel kanak-kanak pula, tidaklah mempunyai banyak kesukaran. Perkara yang perlu diketahui ialah penulis harus bijak meneliti cerita yang bagaimana kanak-kanak suka.

“Saya sentiasa mengambil rujukan karya-karya popular di barat yang menjadi kegemaran kanak-kanak, kemudian diubah agar sesuai dengan masyarakat dan kebudayaan di negara kita. Walaupun cerita itu tidak logik tetapi tidak mustahil boleh dihasilkan kerana cerita rakyat Malaysia juga adalah sesuatu yang tidak logik, namun, jangan pandang dari segi ketidaklogikannya sahaja tetapi pandanglah pada mesej yang hendak disampaikan” ujar beliau.
Antara novel beliau yang terdapat terlaris adalah Hati Ini Milik Siapa terbitan Fajar Pakeer. Manakala novel beliau yang masuk cetakan kedua adalah Hanya Dikau dan Jangan Kau Tangisi terbitan Buku Prima.

Harapan dan impian beliau agar dirinya terus dikurniakan idea-idea yang segar untuk berkarya dan dapat mengekalkan pelbagai genre dalam penulisan novelnya yang akan datang. Beliau juga berharap agar pembaharuan yang dilakukan ini akan dapat diterima oleh semua walaupun kadangkala ceritanya tidak berapa logik. Jika karya ‘Harry Porter’ itu mampu mendapat tempat di hati semua kenapa tidak dengan karya penulis tempatan? Beliau juga mengharapkan pembaca dan masyarakat sentiasa memberi ruang dan peluang untuk penulis-penulis tempatan mencipta pembaharuan di dalam bidang penulisan ini. Seterusnya mereka terus menyokong penulis-penulis novel di Malaysia.

Di akhir bicara, beliau ingin memberi tips kepada mereka yang berbakat besar dan ingin menjadi penulis novel, kaji dahulu genre yang anda ingin tulis dan ketahuilah sasaran pembaca anda. kemudian, tunggu apa lagi, mulakan menulis dari sekarang!

Novels From 2004-2010